Friday, February 28, 2014

Untitled #1



Aku sedih.
Aku kecewa.

Dia kata padaku,
dia rindu.
Tapi, seolah dia mengabaikan aku.
Ada yang lebih pentingkah dari aku?

Aku nak merajuk dengan kau, boleh?
Sementara je. Bukan selalu aku merajuk dengan kau.
Aku perempuan, jadi aku sensitif.
Mudah terasa hati
bila kau tak layan aku dengan cara yang sepatutnya.

Biarlah kami saling merindui begini,
Duduk berjauhan.
Aku tak mengharapkan dia balik kali ini.
Jika balik sekalipun,
tapi hati aku ni dibalut kecewa,
tak ada guna.

Izinkan aku bawa diri untuk beberapa hari.
Izinkan aku untuk tidak menghubungi kau untuk beberapa hari.
Tapi aku tak merajuk lama.
Kejap je.

Sebab?
Aku rindu kau.
Pulanglah.

P/s: Buatmu yang aku sayang.

Thursday, February 27, 2014

Hari Terakhir





Tik tok!
Pantasnya masa berlalu.
Antara sedar
atau separa sedar.
Kita semakin ke hadapan.
Membuka lembaran baru,
setiap hari.
Kita semakin tenggelam,
dalam mengejar arus masa,
yang semakin berputar
pantas.

Hari ni, hari terakhir dalam bulan Februari 2014.
Jatuh pula pada hari Jumaat yang Barakah.
Alhamdulillah.
Semoga Allah SWT memberkati hari terakhir ini.

Kita pula, jangan terlalu leka. Kena selalu peka, dengan apa-apa sahaja. Akhirat jangan lupa! Masa sekarang ni, bagi aku dah tak berjalan macam dulu lagi.
Ni dah kira tahap lari pecut. Sedar-sedar je dah nak masuk bulan Mac.
Eh, azam korang tahun ni dah tercapai ke belum untuk setakat ni? Hehehe.

P/s: Aku belum ada azam lagi!

Puisi di atas itu karya picisan ku.
xx_

Serapuh daun




Manusia itu;
ibarat daun.
Pada mulanya,
tumbuh mekar di pokok.
Daun malar hijau.
Cantik.
Meliuk lentok
tatkala di tiup angin sepoi-sepoi bahasa,
mencorak irama,
terhasil desiran.
Namun;
tiba masanya,
daun itu semakin layu,
bertukar warna.
Saat itu;
Pabila ditiup angin,
gugur.
Di atas tanah,
lalu mereput.

Kita ni ibarat daun. Hari mekar hijau, esok dah layu layuan. Akhirnya mati. Tapi sebelum kita menghadap Pencipta kita Yang Maha Esa tu, perbanyakkan amalan. Kita tak tahu bila giliran kita. Bila-bila masa sahaja boleh dipanggil. Tapi, bersediakah kita?

Yang kat atas tu aku buat sendiri.
Hentam saja lah labu! Puisi ke apa ke, aku sendiri tak pasti.
Hehe.

Adios xx_

Tuesday, February 25, 2014

TEMBAK TEPAT: Kecantikan Diri VS Kehendak Diri


Tadi aku baru je lepas belek surat khabar Harian Metro versi Sabah milik emak aku, main cilok je lepas tu pulangkan balik. Hehehe. Dalam banyak-banyak artikel kat surat khabar tu, di hadapan muka surat tu la yang paling menarik perhatian aku.

Kenapa?



Sebab sekarang ni fenomena 'membetulkan' wajah dah mula menular di kalangan artis Malaysia. Kes terjangkit dengan artis Barat dan Korea la. Aduh, muka dah elok-elok ada yang semula jadi handsome/cantik nak perbetulkan lagi buat apa? Dengan alasan, hidung senget lepas jatuh waktu persembahan la, masalah resdung la. Macam-macam. Kalau bukan Islam buat macam tu, aku tak kisah. Tapi yang beragama Islam? Eh, kan berdosa mengubah ciptaan Allah.

Tak salah nak kelihatan cantik dan manis di hadapan orang ramai, tapi janganlah terlalu mengikut kehendak diri. Terang lagi bersuluh, nafsu. Nafsu membuak-buak nak cantik. Bagi aku, lebih baik memakai mekap tebal berinci-inci (bila ditampar muka beliau boleh jerebu sekeliling) berbanding perbetulkan muka ni.

Bagi aku, kecantikan asli itu lebih indah berbanding yang dimasukkan segala macam benda kat muka tu. Bersyukur dengan raut wajah yang Tuhan dah berikan. Kena la jaga elok-elok. Bersyukur juga sebab kita diciptakan sempurna, tak ada cacat cela jadi tak perlu nak perbetulkan bahagian itu ini.

Apa yang aku nak cakap, tahan la kehendak diri terhadap keobsesan nak kelihatan cantik, yang asli itu lebih cantik. Percayalah.

Adios, xx_

Monday, February 24, 2014

Laman Sosial

Assalamualaikum, hello, hi korang!

Segalanya di hujung jari. Yeah, hari ni segala-galanya di hujung jari. Taip-klik-dapat. Nak berhubung dah tak perlu nak pakai surat, pakai burung merpati (cehh, aku tak pernah cuba) macam zaman dulu-dulu. Sekarang ni burung merpati pun masih wujud jugak, tapi dah canggih, namanya Twitter. Betul?

Tapi sayang,
segalanya yang canggih ini tidak digunakan dengan cara yang betul oleh sesetengah pihak. Selalunya, budak-budak sekolah yang ber IQ rendah berkongsi benda-benda tak senonoh tu di Internet. Ingat orang suka ke tengok aksi panas korang tu dik? Menyampah ada, siap kena kutuk lagi. Ambil gambar berpeluklah, comolot lah, cium kaki girlfriend (aku rasa dah serupa lembu, tapi lembu lagi pandai rasanya dari kau) & segala macam benda yang tak senonoh juga yang nak ditayangkan (bangga barangkali). Dari kongsi gambar-gambar sedemikian rupa, baik kau kongsi sesuatu yang boleh menambahkan saham pahala kau.


Cakap pun tak guna, kalau jenis jenis manusia yang macam ni sudah tentunya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Malas nak ulas panjang lebar, masing-masing dah besar mesti tahu baik buruk.

Baiklah, sebenarnya aku nak kongsi laman sosial yang aku gunakan. Aku rasa, terlalu banyak aplikasi penghubung sesama manusia ni wujud. Tapi aku pakai berapa kerat je. Malas nak pakai banyak-banyak, sama je fungsi dia. Antara yang aku pakai :-

Facebook : Suatu ketika dahulu popular, tapi sekarang seolah dipandang sepi. Kesian. Aku mula guna benda ni masa tahun 2010. Sekarang dah slow, dah tak rajin update.

Twitter : Burung yang paling popular. Aku seorang yang gila tweet (korang yang ada Twitter pun mesti sama jugak). Apa yang aku rasa, tweet. Nampak, tweet. Tapi tak banyak mengarut, merepek, mencarut ya. Berpada-padalah juga.

Blog : Yang ni, sebenarnya aku dah pernah buat blog suatu ketika dahulu. Tapi aku dah padam (kes aku tak pandai cari followers, masih budak hingusan dan banyak sangat merepek). Tapi kini, aku kembali berblogging!

WeChat : Aplikasi ni sangat terbaik. Kenapa? Korang tak boleh batak hot kat situ. Hahaha. Yang boleh tengok moment korang punya like, cuma korang sorang je. Orang lain tak boleh (melainkan kalau ada mutual friend)

Instagram : Baru juga pakai, tapi Insta aku banyak gambar makanan yang menggiurkan. Mampu membuatkan perut korang berkeroncong kalau tengok lama-lama. Hahaha. Ya, aku suka makanan!

Apa-apa pun, janganlah salah gunakan lama sosial ni. Nanti korang sendiri malu (melainkan kalau muka korang tu jenis tembok China, memang tak tahu malu!)

P/s: Bila aku kata dah follow korang, tapi belum sebenarnya sila beritahu di cbox. Maklumlah, pandai terlepas pandang juga. Sebab terlalu banyak bloggers yang aku follow bila blogwalking. Kerana aku insan biasa.
Adios, xx_


Sunday, February 23, 2014

Tips: Peperiksaan

Hi korang semua!


Semalam dah update, hari ni update lagi. Wah, gila semangat. Tapi hari ni bukan curhat. Hari ni aku nak kongsi tips untuk bebudak yang menghadapi peperiksaan. Nampak ketinggalan? Biarlah! Blog aku ni. Baca je la ya! Tambah pengetahuan korang (sengih kambing).

Selagi korang masih belajar tu, memang tak dapat lari dari peperiksaan, kan? Mana boleh lari, dah nama pun belajar, mesti ada sedikit ujian untuk menentukan tahap kefahaman korang tu di mana. Sama ada korang betul-betul faham atau buat-buat faham je sebenarnya. Haaa. 

Ok, ni ada tips apa yang perlu dielakkan & perlu dilakukan untuk korang yang bakal menghadapi peperiksaan.

ELAKKAN

1 Memikirkan perkara-perkara yang boleh mengganggu fikiran & ketenangan diri korang - gaduh dengan boyfriend/girlfriend, gaduh dengan kawan, gaduh dengan kucing tolak tepi dulu.

2 Menganggap bahawa peperiksaan itu susah - dah nama pun peperiksaan, mana ada benda senang dalam dunia ni. Hahaha (gelak jahat)

3 Berfikir tentang masalah yang mungkin korang temui selepas peperiksaan.

4 Berfikir tentang kegagalan yang mungkin bakal diterima selepas peperiksaan.

5 Takut pada peperiksaan - peperiksaan tak makan korang, dia cuma tanya soalan je.

6 Membuat perbandingan antara kebolehan diri korang dengan rakan-rakan yang lain.

LAKUKAN

1 Tumpukan sepenuh fikiran korang terhadap peperiksaan.

2 Beranggapan bahawa segala soalan peperiksaan adalah soalan-soalan yang korang dah buat sebelum ni.

3 Beranggapan bahawa peperiksaan itu hanya menguji sesuatu yang korang dah baca.

4 Bayangkan keseronokan yang bakal korang alami bersama keluarga ketika menerima keputusan.

5 Beranggapan bahawa peperiksaan tu sebagai tiket untuk korang melangkah ke mercu kejayaan.

6 Beranggapan bahawa diri korang sama seperti orang lain. Kalau orang lain boleh, kenapa korang tak boleh?

Baiklah, itulah dia tips nya. Semoga tips ni berguna buat korang semua yang bergelar pelajar! Semoga berjaya mengejar cita-cita korang ya!

P/S : "Pelajar tanpa kemahiran belajar umpama mekanik yang tidak tahu membaiki kereta." - Saidina Uthman bin Affan

Kartun kredit : Mak Cik WeHeartIt
Adios xx_

Jalan Penyelesaian



Semakin lama, 
aku semakin buntu.
Aku keliru dengan sekeliling.
Aku keliru dengan segala-galanya.
Ingin aku menangisi nasib,
namun aku tahankan.
Apa yang Tuhan beri,
ini ujian buat aku.
Apa yang aku ingin dari manusia di sekelilingku?
Tiada apa yang aku pinta, 
melainkan;
fahami aku.
Jangan di caci aku yang hina ini.
Bimbing aku, aku telah tersesat jauh.
Selama ini aku karam dengan nikmat duniawi semata.




Hari ni, aku buat 'curhat' (curahan hati). Aku sebenarnya sangat-sangat memerlukan seseorang, untuk aku luahkan perasaan. Sebenarnya, aku dah ada seseorang yang boleh aku luahkan perasaan. Tapi, aku tak sampai hati kalau asyik nak mengadu dekat dia. Dia banyak benda lagi nak kena buat. Sekarang, dia busy dengan kolej, amali, assignment, kerja part time dia. Kesian pula aku tengok. Jadi aku pendam.

Benar kata orang, kalau kita pendam masalah kita. Memang sakit. Kita memang perlukan seseorang untuk mendengar. Tapi kena pandai memilih, takut nanti orang yang kita percayai tu, bocorkan kat orang lain. Tak semua orang kita boleh percaya zaman sekarang ni. Tapi dengan dia, aku percaya.

Siapa dia yang aku maksudkan? Suami aku. Ha? Terperanjat? (Buat yang baca entri ni)
Tak payah la terkejut. Hehe. Akan datang, aku akan ceritakan tentang diri aku, ok?
Tapi tak 100%

Adios xx_

Friday, February 21, 2014

8 C BUAT LELAKI BENCI WANITA

Assalamualaikum & selamat pagi Sabtu.

Aku malas nak celoteh panjang-panjang (bukan ada orang baca pun kan). Jadi aku nak straight to the point. Kali ni aku nak kongsi pasal hero-hero kat luar sana untuk perempuan, terutama yang tengah hangat bercinta ataupun bertunang. Hihi.

Jangan ingat lelaki tak kisah dengan teman wanita dia. Mesti dia ambil kisah punyalah! Ni ada 8 C yang boleh membuatkan lelaki benci dekat perempuan.

1- CABAR

Lelaki ada ego tersendiri. Jadi dorang ni tidak suka dicabar terutama sekali oleh wanita. Wanita perlu tahu batas tindakan korang agar lelaki tidak rasa tercabar. Kita wanita memang suka cabar lelaki kan? Jangan! Contoh ayat mencabar: "Kalau awak tinggalkan saya, ramai lagi yang nakkan saya.." Berani cakap, berani tanggunglah bila teman lelaki korang tinggalkan korang. Lelaki pantang dicabar.

2- CABUL

Aipp! Bukan cabul yang tu ya. Ni cabul lain. Cabul bermaksud perilaku sumbang teman wanitanya tak kira kepada teman lelakinya sendiri mahupun keluarga lelaki itu. Sikap tak malu wanita macam ni akan membuatkan si lelaki akan tawar hati dan sekali gus meletakkan wanita macam ni pada senarai akhir mereka untuk dijadikan isteri.




3- CELUPAR

Tak guna muka cantik tapi mulut celupar. Apa gunanya raut wajah cantik rupawan tapi mulut celupar tahap "longkang".

4- COMOT

Ada ramai wanita cantik tapi comot. Comot ni melibatkan banyak benda, macam wajah wanita itu, penampilannya yang selekeh, kerja yang dilakukan dan tindak tanduknya. Sebagai contoh, wanita mungkin merasakan mereka tidak perlu lagi berhias kerana sudah memiliki kekasih hati tetapi berhati-hati kerana takut lelaki tak tahan dengan penampilang wanita yang comot.

5- CEMBURU

Cemburu memang perlu dalam sebuah perhubungan. Tak cemburu, maka tak sayang betul? Tetapi perempuan jangan terlampau cemburu hingga teman lelaki merasa terkongkong dan akan membawa padah kepada hubungan korang. Ini boleh menyebabkan lelaki rasa diri dorang tidak dipercayai. Jadi, kurangkan perasaan cemburu supaya hubungan korang mesra dan aman.

6- CEREWET

Kata ulama hati wanita terletak pada mulutnya. Oleh itu, wanita perlu mengawal percakapan. Lelaki paling tak suka bila teman wanitanya cerewet tak bertempat (mohon jotos kepala awek korang kalau perangai dia macam ni)

7- CINCAI

Ni lagi satu, lelaki tak suka teman wanitanya ambil remeh tentang semua perkara. Baik dari segi berhias, menjaga percakapan, memasak, mengambil hatinya dan pembawaan diri. Sikap macam ni akan membuatkan dorang memikirkan berkali-kali untuk menjadikan perempuan macam ni sebagai suri hatinya.

8- CUAI

Kebiasaannya lelaki tak suka jika teman wanitanya cuai terutama apabila ia melibatkan masa (ye ke ni?). Misalnya apabila lelaki mahukan sesuatu perkara, dia mahukan temannya menyediakan seperti apa yang diminta. Bukan menyediakan sesuatu yang tidak menepati pilihan dan cita rasa dorang.

Itulah 8C nya. Jadi perempuan di luar sana, take note! Jangan ambil mudah pasal teman lelaki korang ya.
Adios xx_

Thursday, February 20, 2014

PANTANG LARANG

Assalamualaikum & hi korang.

Hm, nampaknya blog aku masih tak ada kemajuan (tepuk tangan). Followers belum bertambah lagi (walaupun aku dah minta orang followback aku semula). Orang yang sudi follow aku balik pun sorang je (Alhamdulillah). Mungkin aku kurang singgah ke blog orang dan blogwalking, sebab tu tak ramai yang sedar tentang kewujudan blog aku ni (tak mengapa).

Baiklah,
hari ni, izinkan aku merepek boleh? (walaupun aku sedar tak ada pun yang nak baca!)
Ada aku kisah?

Pantang larang orang dulu-dulu ni. Ada betulnya jugak kan?
Nak bagi contoh, terlalu banyak. Korang pun mestilah tahukan apa pantang larang?
Mesti ada yang masih ikut pantang larang orang dulu-dulu ni. Macam aku. Hikss.


Antara pantang larang orang tua-tua dulu ialah :-

"Anak dara jangan menyanyi kat dapur, nanti kahwin dengan orang tua."

Haa, sebenarnya tak lah betul sangat pun kahwin dengan orang tua. Maksudnya kat sini, jangan menyanyi masa memasak, nanti air liur masuk dalam masakan. Ye la, dah seronok menyanyi mana sedar air liur memercik keluar. Hahaha.

"Jangan potong kuku waktu malam, nanti cepat mati."

Ni aku pernah dengar, sebenarnya bukan cepat mati (sebab aku selalau jugak potong kuku malam-malam, tak "mati" pun. Hehe.)

"Jangan balik lewat Maghrib, nanti kena sorok dengan hantu."

Haa, kena sorok dengan hantu tutt (sensor) katanya. Betul ke? Wallahualam. Sebenarnya kan tak elok kalau masih bermain bola kat padang tapi azan Maghrib dah berkumandang? Bukan saja-saja je muazin tu melaungkan azan tau! Kenalah hormat azan (bukan waktu Maghrib je, waktu lain pun kena hormat jugak)

Aku rasa, masih banyak lagi pantang larang orang tua dulu-dulu yang masih korang amalkan, betul?
Cuma persoalan aku di sini, masih relevan kah? Hehehe. Tepuk dada, tanya otak.

Adios xx_

Sunday, February 16, 2014

25 PERKARA ITU


Entri kali ni, 
sebab kenapa kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada.

1. Korang masih ada keluarga dan bukannya anak yatim piatu mahupun terbiar tanpa ada arah tuju.

2. Korang sihat dan nak bernafas pun tidak perlu dibayar, segalanya percuma.

3. Korang tak perlu tidur beralaskan bumi dan berlangitkan bintang.


4. Korang masig boleh mendengar muzik, menghidu bau makanan yang sedap belaka dan bergosip sampai puas.

5. Ada member untuk diajak makan bersama, dihubungi ketika bosan dan untuk diajak berjalan-jalan pada hujung minggu.

6. Masih ada kesempatan untuk bersekolah. Biarpun terpaksa penat mengulang kaji pelajaran dan menghadapi peperiksaan, tapi percayalah ramai orang yang mengimpikan tempat korang sekarang ini.

7. Korang masih mampu ketawa menonton filem komedi.

8. Menangis bila melihat sesuatu yang mengharukan biarpun tak ada kena mengena dengan korang (tonton filem sedih, hidustan, lihat video/gambar yang menyayat hati dan sebagainya). Ini bermakna korang ialah manusia yang ada perasaan.

9. Korang masih ada kesempatan dan mampu membelikan hadiah untuk teman, keluarga dan orang teristimewa.

10. Korang teringin nak menonton filem yang bagus, cuma tinggal pergi menonton di pawagam. Nak pergi tengok konsert artis idola korang, cuma tinggal nak beli tiket dan pergi ke konsert.


11. Korang boleh membaca dan mendapat banyak perkara dan ilmu yang korang peroleh dari membaca.

12. Hidup di negara yang bebas perang. (Tak seperti negara-negara yang dilanda perang)

13. Korang teringin nak makan makanan Jepun, Itali, China atau apa sahaja, korang boleh pergi ke restoran yang terdekat.

14. Korang memiliki teknologi-teknologi yang canggih membuatkan hidup bertambah mudah.

15. Korang ada bakat tertentu? Bersyukurlah sebab bukan semua orang mampu melakukan apa yang korang lakukan. 

16. Korang bebas untuk memakai apa sahaja mengikut citarasa korang dan keinginan korang. Senang cakap, korang mampu mengisi almari pakaian kamu seperti yang diingini.

17. Di dunia ni tak ada orang yang boleh menyerupai korang. Sekalipun korang anak kembar pasti ada perbezaan. Jadi bersyukur dilahirkan unik dan tiada pendua/klon.

18. Setiap kali korang ada kesempatan untuk melihat dunia lain misalnya melancong ke negara orang atau negeri orang, manfaatkanlah sebaik-baiknya. Bukan semua orang boleh dapat apa yang korang dapat.

19. Korang mampu membuat orang lain ketawa, rasanya tidak akan ada perkara yang lebih baik dari itu.

20. Korang masih hidup sehingga ke hari ini dan alasan ini semestinya sudah cukup kuat untuk kamu bersyukur.

21. Korang masih ada tempat untuk mengadu masalah serta kesedihan yang sedang dihadapi.

22. Pokai macam mana pun korang, korang masih ada makanan untuk dimakan.

23. Setiap kali korang bosan ada banyak lagu-lagu yang sedia menemani korang. Cuma nak pilih mengikut citarasa korang je.

24. Setiap kali korang melakukan kesalah pasti akan ada yang sedia untuk membetulkan kesalahan korang kerana tidak mahu kamu tersungkur dengan kesalahan yang telah kamu lakukan.

25. Korang bebas memilih apa yang kamu inginkan dalam hidup asalkan korang rajin dan berusaha keras untuk mendapatkannya.

Adakah korang masih tak bersyukur lagi? Renung-renungkanlah.
Adios xx_

Gambar kredit : weheartit.com

Saturday, February 15, 2014

COKLAT OH COKLAT!

   

Hi! Entri untuk hari ni. Pasal coklat. Semua orang mesti suka coklatkan? Ya, aku pun sama!
Suka gila dengan coklat. Coklat digemari dari semua peringkat umur, baik dari umur muda hingga tua, semuanya pasti pernah menikmati coklat yang enak ni.

Sebut je pasal coklat, mesti ramai di antara korang ni menganggap coklat adalah gizi yang tidak sihat dan mampu membuat korang jadi gemuk! Ha, dah salah tu. Sebenarnya, coklat ni ada khasiat dan kebaikannya yang  tersendiri. Malah, dalam menu untuk berdiet pun coklat ada disarankan sebagai salah satu makanan yang baik. Tak percaya? Jom baca pasal kebaikan coklat ni!
KEBAIKAN COKLAT

1- Coklat mengandungi zat makanan yang lengkap dan seimbang.

2-  Coklat susu (100g) dapat menyumbangkan 17% karbohidrat, 15% lemak, 6% protein dan vitamin serta mineral yang diperlukan oleh setiap tubuh manusia dalam sehari.

3- Coklat juga sesuai bagi golongan yang aktif dan bekerja kerana coklat susu (100g) menyumbangkan 15% daripada keperluan tenaga manusia dalam sehari.

4- Coklat mempunyai bahan anti kerosakan gigi seperti tannin, kasein dan asid oksalid yang berperanan sebagai pelincir yang menghalang pembentukan plak gigi.

5- Coklat bebas dari kolestrol kerana lemak koko mengandungi 328.2% asid oleik yang berperanan merendahkan paras kolestrol dalam darah.

6- Asid sterik pula mempunyai kesan neutral terhadap paras kolestrol.

7- Koko mengandungi theobromina yang memberikan kesan ketenangan untuk penumpuan otak dan membantu meningkatkan daya ingatan.

Ok, itulah serba sedikit tentang kebaikan coklat. Jadi, tak perlu takut untuk menikmati coklat yang sedap ni. Rugi kalau tak makan. Tapi awas, jangan berlebih-lebihan!


Ada juga persepsi yang mengatakan coklat ni membawa keburukan, contohnya menyebabkan jerawat, menggemukkan dan sebagainya. Oh, itu tidak benar! Perkara yang menyebabkan benda tu terjadi bukan disebabkan oleh Sang Coklat ni. Jom baca sikit lagi mengenai yang tidak benar tentang coklat.

1 - MENYEBABKAN JERAWAT
Sebaliknya amalan pemakanan yang kurang baik menjadi punca utama jerawat. Korang lebih mudah menyalahkan coklat je. Sebenarnya, perubahan hormon ketika baligh ditambah pula dengan pengambilan kurang zink dan banyak iodin menjadi punca utama jerawat tumbuh. Pertambahan hormon menyebabkan kelenjar mengeluarkan sebum, di mana jika tersumbat, sebum terkumpul lalu membentuk jerawat.

2- MENGGEMUKKAN 
Sebenarnya, gemuk berlaku kerana makan dengan berlebihan. Makan sederhana termasuk coklat, diiringi dengan senaman kardiovaskular adalah rahsia berat badan sihat. Paling penting, tahap kecergasan bukan penurunan berat badan. Tak ada sesuatu makanan tertentu yang boleh menggemukkan sebaliknya yang menentukan berat badan ialah jumlah makanan yang diambil.

3- DIABETES
Sebenarnya penghidap diabetes boleh menikmati coklat tetap secara sederhana mengikut nasihat pakar pemakanan. Persatuan Britain dan Persatuan Dietitik Amerika kini mengakui bahawa pengambilan gula atau makanan bergula dalam jumlah yang terhad sebagai diet tinggi serat dan rendah lemak boleh diterima.

4- SAKIT JANTUNG
Sebenarnya, punca utama kes sakit jantung di Malaysia ialah gaya hidup kurang sihat seperti merokok, kurang senam, makanan tidak seimbang dan berlemak tepu. Coklat mengandungi antioksidan, dikenali sebagai fenol yang mungkin mampu mengurangkan tahap kepadatan lipoprotein (kolestrol LDL). Hasil kajian menunjukkan asid stearik pada mentega koko atau lemak dalam coklat tak memberi kesan pada kolestrol darah.

Jadi, adakah korang masih nak menyalahkan coklat? Tepuk dada, tanya perut!
Adios xx_

Gambar kredit : weheartit.com

KITA DAN PASANGAN HIDUP

Entry kali ni,
aku nak sentuh mengenai, kita dan pasangan hidup. Tak kisahlah kat mana-mana pun sekarang ni,
semua orang mengimpikan nak ada pasangan hidup. Fitrah manusia, lelaki diciptakan untuk perempuan, perempuan diciptakan untuk lelaki (lain-lain kes aku tak nak sebut, nanti lain jadinya). Fitrah manusia, saling memerlukan antara satu sama lain. Bersyukur dengan Tuhan sebab kita dikurniakan perasaan untuk menyayangi manusia (eh, haiwan pun ada apa? Cuma mungkin berbeza)

Yang belum ada pasangan tu, apa lagi. Carilah (ingat macam beli sayur kat pasar ke?)
Jangan risau, Allah sudah berjanji setiap manusia itu dicipta berpasangan. Tak ada istilah keseorangan, lonely, forever alone semua tu. Cepat atau lambat pasangan kita tu hadir dalam hidup kita, itu Allah yang tentukan. Perancangan dan peraturan dari Allah itu, lebih indah bukan?



Baiklah, yang tengah hangat bercinta tu, setialah dengan pasangan korang. Tak susah pun nak setia. Janganlah seorang setia setengah mati, seorang lagi sibuk dok mengaku dia single (mohon clash je kalau pasangan korang macam ni, tak pun mohon jotos kepala dia 8 kali laju-laju).

Yang dah bertunang tu, Alhamdulillah. Korang berdua dah pun selangkah memasuki gerbang perkahwinan. Masa korang bertunang ni la korang nak kenal pasangan korang dengan lebih mendalam lagi. Kenal hati budi dia, perangai dia yang sebenar macam mana.

Bagi yang sudah berkahwin (ehem ehem), kekalkan kehangatan percintaan korang seperti mana sebelum korang berkahwin. Bukannya masa bercinta sweet tak ingat dunia, lepas kahwin hubungan hambar. Aish, tak bolehlah macam tu. Sepatutnya kena lebih manis dari gula (Ceh). Romantik kena kekalkan, manja-manja juga kena kekalkan. Tak salah kalau nak merajuk dengan suami/isteri korang. Kan sweet? Macam semangat je aku taip untuk orang yang dah kahwin ni (dah kahwin ke?).

Jawapannya aku telahpun bernikah. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, walaupun jodoh datang dalam usia yang sangat muda dan mentah ni, aku berharap, aku dan pasangan dapat melayari bahtera perkahwinan ni sebaik yang mungkin, bukan untuk setahun dua tahun, tapi untuk selamanya hingga akhir hayat (aku tak main-main ya). Jadi, apa yang aku kongsikan untuk pasangan berkahwin ni, adalah untuk diri aku sendiri juga dan pasangan aku.

Buat yang putus cinta, break up tu, La Tahzan (jangan bersedih) mungkin si dia bukan untuk korang dan bukan jodoh korang. Jangan tunggu lama-lama, cari je la yang baru. Senang cakap, move on! Tak ada yang salahnya, jika bekas pasangan korang dah ada pengganti tapi korang masih ternanti-nanti (pedih?). Bina semangat dan motivasi untuk diri sendiri. Berkata dengan diri sendiri, "aku boleh dapat yang lebih baik dari si polan tu". "Ramai yang lebih baik dari si polan tu". In Sha Allah, dengan izinNya, korang akan dapat kekuatan untuk lupakan bekas pasangan korang.

Ha, korang bernasib baik (buat yang baca blog aku). Aku ada jumpa doa untuk memulihkan kecewa di hati korang tu. Memang kita boleh lupakan si dia, tapi kenangan yang kita lalui tu akan malar segar dalam ingatan (tapi lama-lama nanti lupa juga). Nak tunggu apa lagi? Amalkan. In Sha Allah, korang akan lupa pasal bekas pasangan korang tu. Aamiin.


Ok, semoga korang terhibur. 
Adios xx_

Gambar kredit: Pak Cik Google

Thursday, February 13, 2014

13 perkara yang jangan dilakukan dalam persahabatan

Hai korang!
Entry kali ni pasal persahabatan. Mesti semua orang ada kawan kan? Mustahillah tak ada.
Kali ni aku nak kongsi, perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku dalam persahabatan korang kalau nak 
kekal lama!


1) TERBURU-BURU - Sekiranya berlaku salah faham antara korang dalam perhubungan, jangan bertindak terburu-buru membuat keputusan sebaliknya berbincang dan selidik dahulu agar tidak menyesal di kemudian hari.

2) MENDESAK - Jalinkan perhubungan persahabatan dengan penuh ketenangan. Beri kebebasan untuk sahabat korang membuat pilihan atau keputusan dan jangan mendesak.


3) PENTINGKAN DIRI SENDIRI - Dalam membuat sesuat keputusan, fikirkanlah hati dan perasaan sahabat korang juga. Sebaiknya kongsi masalah dan saling membantu anttara satu dengan yang lain agar korang tidak dikatakan sebagai pentingkan diri sendiri.

4) HIPOKRIT - Di depan kawan bukan main baik lagi, tapi bila di belakang macam-macam yang dikatakan, diumpatkan. Mengutuk sahabat sesuka hati. Kenapa nak jadi hipokrit? Apa guna bersahabat sekiranya ada sikap sedemikian. 

5) BERDENDAM - Buang yang keruh ambil yang jernih. Sifat pemaaf perlu ada dalam perhubungan persahabatan. Jauhi dari perasaan dendam yang merugikan diri sendiri.

6) CELUPAR - Jaga mulut dan jangan bercakap sesuka hati. Tak semestinya bila dah jadi sahabat korang boleh cakap sesuka hati korang! Utamakan etika dalam komunikasi dalam perhubungan.

7) TALAM DUA MUKA - Sikap bermuka-muka adalah perosak nombor satu dalam perhubungan. Depan cakap lain, belakang cakap lain.Bahaya kalau ada sahabat macam ni.

8) SAMBIL LEWA - Bersungguh-sungguh ketika mendengar keluhan dan cerita dari seorang sahabat. Jangan bersikap sambil lewa sehingga korang dianggap oleh sahabat korang sebagai sahabat yang tak berhati perut.

9) CEMBURU - Sekiranya melihat kejayaan seorang sahabat, ucapkan tahniah kepadanya dan kongsi kegembiraan bersama-sama. Jauhi sifat cemburu. Mungkin hari ni hari dia, esok atau lusa tiba pula hari korang memperoleh kejayaan!

10) DENGKI - Kenapa nak dengki? Setiap orang ada kelemahan dan kelebihan. Begitu juga dengan korang dan sahabat. Terima je kelebihan dan kekurangan masing-masing agar hubungan persahabatan tu kekal lama!

11) MENGKRITIK - nak kritik ada caranya. Tak salah jika korang ingin tegur sikap sahabat korang. Tapi gunalah bahasa yang lembut dan jangan sampai menyinggung perasaannya.

12) KEDEKUT - Jangan terlalu berkira. Hari ni mungkin hari dia ditimpa kesusahan. Esok mana tahu hari korang pula. Jadi bantulah sahabat yang memerlukan seadaanya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

13) COPYCAT - Sahabat bukan bermaksud kembar. Bina identiti masing-masing kerana tak semua orang dirinya suka ditiru oleh orang lain. Mungkin sahabat korang tak mahu dirinya dibayangi dengan sahabat sendiri.

Ok, setakat itu sahaja. Kalau sayangkan persahabatan, praktikkan perkara-perkara di atas!
Adios xx_

Wednesday, February 12, 2014

Alamak! Perut buncit

MESTI korang tertekan apabila mempunyai perut yang buncit dan penuh dengan benjolan lemak. Ada 3 perkara yang perlu dielak dan 3 langkah untuk tampil dengan perut kempis. Jom langsing!

ELAKKAN :-


1) Gelojoh - Kunyah makanan secara perlahan dan telan makanan agar ia benar-benar hancur. Menelan makanan terlalu cepat dan tidak dihadamkan dengan sempurna akan menyebabkan terhasilnya gas-gas yang boleh membentuk perut buncit.





2) Garam - Pengambilan garam yang banyak boleh menyebabkan pertambahan sodium dalam badan lantas melambatkan mekanisme sehingga menyebabkan perut rasa penuh dan mula mengembung ke hadapan. Kalau nak tahu, makanan ringan mengandungi banyak garam. Maka, jauhi snek!

3) Makan lewat malam - Jauhi mengambil makanan berat pada lewat malam kerana makanan lambat hadam dan selebihnya disimpan sebagai lemak.

Amalkan :-

1) Air - Jika rasa perut kembung kerana dipenuhi air kesan daripada penyimpanan air berlebihan, korang boleh mengurangi masalah itu dengan minum lebih banyak air. Pengambilan air dapat mencairkan konsentrasi sodium dalam tubuh untuk melancarkan jumlah air yang keluar dari tubuh. Selain itu, ia juga dapat menjamin fungsi hempedu supaya aktif mengeluarkan benda asing dalam badan.


2) Buah-buahan - Pengambilan serat buah-buahan seperti pir dan epal yang mengandungi banyak air dipercayai dapat mengimbangi penyimpanan air yang boleh menyebabkan perut menjadi kembung.

3) Sit up - Ia senaman dan perkara yang paling mudah selepas korang bangkit dari tidur. Lakukan senaman perut misalnya sit up setiap pagi. Mengamalkan sit up dapat membantu meratakan dan membentuk otot di bahagian abdomen perut.

Gambar kredit : Google Images

Tuesday, February 11, 2014

NEWBIE - EDITED

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Rookie Leviosa.
Itu nama blog aku. Nak kata newbie tu tak juga sebenarnya sebab sebelum ni pernah buat blog,
tapi dah delete. Maklumlah masih budak hingusan, apa yang di post pun semua mengarut-ngarut.
Tapi rasa 'dipanggil' kembali untuk ber-blogging semula. Tak tahu kenapa, mungkin ada sesuatu.
Untuk blog yang baru ni, bercadang mahu kongsi information yang aku tahu.
Tak salah nak berkongsikan? Berkongsi itu kan amalan mulia. Ceh.

Setakat ni,
tu je lah rasanya. Masih dalam proses membina blog. Banyak yang nak kena buat.
Boleh dikira aku ni 'cerewet' juga dalam bab-bab blog ni (terkenang masa dulu) hahaha.
Mesti semua nak nampak kemas dan cute (mohon jangan panas).




Alhamdulillah,
Biar pun aku pening kepala tengok new interface ni, sekurang-kurangnya apa yang aku buat ni menjadi
dan nampak cute (jangan panas). Sungguh, aku rasa nak sakit otak tengok blog yang serba serbi baru, tambah lagi tutorial-tutorial yang ada hampir kesemuanya ikut interface yang lama. Apa boleh buat, terpaksalah ikut step by step. Perlahan-lahan.

Post seterusnya? In Sha Allah, coming next. Masih dalam proses edit blog lagi ni.
Ada lagi yang aku tak puas hati (teruk gila perangai aku)

Nasib baik ada tutorial, kalau tak aku tahu apa yang jadi kat blog aku ni.
Terima kasih diucapkan kepada blog yang terlibat:

1) Lyssa Secret - hampir semua yang aku buat, semuanya berdasarkan tutorial dia ni.

2) Sherry Shuici - yang ni, aku tengok tutorial transparent header & download gimp. (Dah lama tak buat                                   maka jadi hilang ingatan)


Ok, cukup.